Ini kisah semalam. 4 Jun 2011. Dari pagi hingga matahari lebih sepenggalah aku melihat-lihat keluar jendela sambil mempelbagaikan kerja. Mengadap Allah s.w.t , membaca ayat-ayat cintaNya dan membaca tafsiranNya buat airmata mengalir. Mata melemparkan pandangan kepada pepohon yang dibuai angin terkenangkan kehidupan ini sambil memohon cinta tuhanku agar akhiranku diredhaiNya. Kalimah Allah ku simpan. Aku berjalan ke jendela. Pandanganku tepat kepada pohon tinggi hijau rendang di hadapanku. Mata kami bertemu. Ia terus menari-nari dibuai angin. Aku tersenyum kepadanya. Baik sungguh engkau. Seperti mengerti dipanggilnya rakan-rakan sekelilingnya menari bersama-sama membentuk separa bulatan berbuai ditiup sang angin. Nyaman dan damai hatiku dihiburkan pepohon tinggi berbunga putih bersih dihadapanku.
Syukur aku sedar. Hamba tidak boleh tenggelam mencintai selain Dia. Syukur di hadapanku itu sepohon pokok bukan manusia. Kalau manusia syiriklah jadinya. Nauzubillah.
Azan zuhur berkumandang, hari ini langit amat cerah. Sekumpulan awan membentuk seperti serangkai bunga putih. Amat bersih sekali. Gunung meredup di kejauhan. Pepohon berkilat daunnya disinari terik mentari. Belum ada tompok hitam di langit. Dedaun pokok terus-terusan dibuai angin sepoi bahasa amat menyenangkan dan aman damai hati ini.
Money plant di atas mejaku juga segar bugar. Semalam ku tanya ia mahu ikut balik atau mahu dihadiahkan kepada teman. Rasanya kami serasi. Akarnya berselirat di dalam bekas. Segar daunnya berkilat-kilat. Selalu menjadi tanda soal kawan-kawan bagaimana aku menjaganya. Senang aje, tukar air, tengokkan akarnya jangan buruk, lapkan daunnya dan bersembang dengannya. Itu saja. Alhamdulellah syukur nikmat Allah. Kata orang alim Ibnu Qayyim Al-Jauziyah kecintaan kita kepada Allah akan dibalas dengan kecintaan jua. Gerak Allah meliputi semua di sekeliling kita. Kita cinta Allah tanpa sampingan maka apa pun disekeliling kita akan digerakkan untuk cintakan kita juga.
Hari ini 5 Jun. Langit pagi ini muram sedikit. Hukum alam. Macam nak hujan saja. Eloklah boleh menumpang rahmat Allah s.w.t atas kasihNya kepada tumbuh-tumbuhan dan binatang melata. Pepohon di luar nampak tenang. Saling mendekat menanti dengan sabar hujan turun. Sabar sungguh. Gerakan awan amat pantas. Tak sampai 30 minit langit sudah seimbang warna kelabunya. Hanya menunggu perintah Pemilik langit. Matahari hampir sepenggalah. Sinarnya ternampak jua. Berbelang-belang di atas pucuk dedaun hijau muda. Kaki langit nampak mendung benar. Dalam waktu yang sama Pemilik langit belum lagi memerintahkan malaikat pembawa hujan melepaskan benteng air dari langit. Pepohon tiba-tiba terbuai-buai sampai di kejauhan hingga terbalik dedaunnya menampakkan alas bawahnya. Dedaun juga bijak bergerak seiring, berhenti seiring. Satu gerak, satu nada. Kalau manusia begini, kan bagus. Allah kata "tidakKu jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembahKu" cukup jelas. Pepohon, gunung-ganang, haiwan faham amat. Alhamdulellah dah hujan pun.
Syukur nikmat Allah s.w.t walaupun sebentar cuma. Tak sampai 10 minit. Hanya untuk hujung dedaunan yang kehausan. Ya Allah tuhanku dan tuhan pepohon di sana kasihanilah kami juga. Kami kepanasan. Harap-harap petang ni hujan lebat. Amin.
No comments:
Post a Comment